Wednesday, July 25, 2012

PENGALAMAN PERTAMA SHUHUD

PENGALAMAN PERTAMA SHUHUD

Berlaku satu peristiwa pada bulan November 1980 setelah penulis mempelajari ilmu kerohanian selama enam tahun. peristiwa tersebut berlaku terhadap diri penulis ketika penulis hendak balik ke kampung melalui jalan Kepong-Tanjung Karang ke Bagan Datoh. Sepanjang dalam perjalanan, penulis tidak henti-henti mengamalkan zikir shuhud HU-ALLAH. Begitulah amalan yang lazimnya penulis lakukan dimana juga. Apabila sampai sahaja penulis disebuah jambatan (Kuala Selangor), penulis merasakan seluruh badan seram sejuk, seolah-olah ada gangguan. Ketika itu bermakam-macam timbul didalam fikiran penulis tetapi zikir terus juga penulis amalkan dan akal memberi isyarat supaya terus memikirkan keagungan Tuhan yang menjadikan seluruh alam. Sebaik sahaja melepasi jambatan tersebut, badan yang sebelumnya merasa seram sejuk bertukar menjadi nikmat yang tidak pernah penulis rasakan seumur hidup. Ketika itu semuanya dirasakan indah-indah belaka. Disebabkan peristiwa itu pertama kali berlaku penulis merasa ganjil juga takut-takut sesuatu yang buruk berlaku terhadap diri dan keluarga penulis, lalu penulis memberhentikan kenderaan dan berehat sebentar dan penulis memeriksa badan jika ada yang tidak kena, namun semuanya dalam keadaan baik. Lalu penulis teruskan memandu dan terus memikirkan semuanya itu adalah kehendak Tuhan, namun zikir tetap juga diteruskan. Yang anehnya rasa kenikmatan tersebut menjadi bertambah-tambah sehingga tidak lagi dapat dikawal, seolah-olah yang memandu kenderaan bukan lagi penulis. Ini kerana penulis bebas melihat ke kiri dan kanan malah kebelakang dan memandang kelangit dengan tiada merasa takut kalau-kalau berlaku kemalangan. Disamping itu penulis merasa apa yang penulis lihat seolah-olah tersenyum kepada penulis. Begitulah keadaannya sehingga ke Tanjung Karang.

Sebaik melepasi pekan Tanjung Karang disatu tempat melepasi kawasan dipersimpangan yang dinamakan Simpang Tengkorak, penulis diingatkan oleh suatu suara yang mengingatkan waktu Asar telah masuk, dan terus sahaja penulis memberhentikan kenderaan. Dan secara kebetulan memang ada masjid ditempat tersebut. Penulis berjalan kearah masjid tersebut seolah-olah tidak jejak kaki kebumi. Rumput-rumput serta pokok pula seolah-olah menundukkan diri kepada penulis. Sesampainya penulis diperkarangan masjid tersebut, penulis terus mengambil wudhu’. Disini berlaku lagi kenikmatan yang bertambah-tambah apabila penulis menyentuh air untuk mengambil wudhu’. Apabila selesai mengambil wudhu’, penulis pun melangkah masuk kedalam masjid. Didalam masjid itu kelihatan seorang tua sedang beriktikaf dan menjeling penulis sambil mengangguk-anggukkan kepalanya kepada penulis. Didalam hati penulis, orang tua tersebut mestilah seorang yang alim dan ahli syurga. Sekali imbas sahaja hati penulis mengatakan yang orang tua itu ahli syurga. Apabila penulis mula hendak mengangkat takbir, maka penulis merasakan suatu kenikmatan yang bertambah-tambah lagi.

Selesai sahaja sembahyang, penulis melihat orang tua tersebut sedang memandang penulis dan penulis nampak dengan jelas dia mengangkat tangan berdoa, tetapi matanya terus memandang penulis. Apabila penulis melangkah keluar daripada masjid, penulis terhidu bau yang sangat wangi. Penulis tidak menghiraukan lagi orang tua itu, akan tetapi apabila penulis berjalan keluar masjid tersebut kelihatan orang tua itu turut keluar masjid dan terus mengiringi langkah penulis sambil tangannya tetap dalam keadaan berdoa dengan mulut yang terkumat-kamit. Sebaik sampai dikereta, penulis terus sahaja masuk dan teringatkan pula Cermin mata mungkin tertinggal, penulis keluar balik dari kereta serta terus menuju kearah masjid tersebut, yang anehnya masjid tempat penulis bersembahyang tadi sudah tiada lagi. Apa yang menghairankan penulis ialah ditapak masjid tersebut hanya ada susunan daun-daun kelapa kering yang tersusun rapi dan diatas daun kelapa tersebut penulis menemui balik cermin mata yang tertinggal tadi. Penulis meninggalkan tempat tersebut dan terus pulang. Didalam perjalanan menuju ke Bagan Datoh, penulis singgah di Sabak Bernam untuk minum air kelapa. Selepas minum penulis terus memandu mengikut jalan masjid. Sampai sahaja dikawasan masjid, penulis nampak lelaki dan perempuan keluar masjid dengan saiz badan yang tegap dan tinggi-tinggi dengan muka yang bengis dalam keadaan fizikal yang tidak sempurna. Ada yang berbadan manusia dan berkepalakan haiwan. Penulis terus mengucapkan Istighfar, dan kedengaran satu suara yang mengatakan mereka adalah jin dan haiwan. Penulis dalam keadaan merasakan nikmat terus sahaja memandu dan kelihatannya semua pokok dikiri kanan jalan tunduk kepada penulis.

Sampai sahaja dijambatan Sabak Bernam, yang mana dikawasan tersebut banyak pokok-pokok nipah yang mengeluarkan bunyi-bunyian apabila ditiup angin dengan daunnya tunduk kearah penulis, dan sebaik sahaja penulis melewati pokok tersebut, pokok itu pun kembali menjadi tegak semula. Sebaik sahaja jambatan hampir diseberangi, penulis merasakan badan penulis mula panas tetapi kenikmatan terus berlaku dan kenikmatan sedikit-sedikit beransur hilang. Selepas sampai kerumah, baru penulis rasa takut dengan peristiwa tersebut terutama apabila mengenangkan masjid yang hilang. Itulah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.


ZUHUD

Yang dimaksudkan zuhud itu ialah mengingati Allah dengan cara berterusan serta insaf akan segala kesalahan yang pernah dilakukan. Setiap manusia tidak sunyi daripada kesalahan, dan setiap kesalahan tidak semestinya berterusan dalam kehidupan manusia. Kadangkala sampai kepada tahap umur yang tertentu Allah memberikan suatu perasaan kepada manusia supaya menyelamatkan diri daripada terus melakukan perkara yang tidak memberi manfaat kepada mereka. Lalu perasaan tersebut mendorong mereka memikirkan bahawa segala yang terdapat dimuka bumi ini tidak memberi manfaat sesudah mati. Ini tidak bererti bahawa dunia ini tidak memberi faedah lansung secara total kepada kehidupan manusia. Yang dibimbangkan ialah cintakan dunia akan menjauhkan diri manusia itu dari Allah swt, kerana utamakan kemewahan yang menjadi bebanan hidup akhirnya. Zuhud pada awalnya datang kepada kehidupan manusia yang tidak tenteram dengan kemewahan kekayaan yang sentiasa dihantui oleh harta benda yang banyak, isteri yang cantik, gedung yang mewah dan besar. Semuanya itu tidak mendatangkan ketenangan kepada mereka. akhirnya mereka mula memikirkan keadaan yang kurang pada diri mereka dan mula sedar bahawa semua itu menjadi bebanan, begitu juga isteri, anak-anak, harta benda dan sebagainya. Akhirnya mereka berjumpa dengan apa yang mereka cari iaitu ketenangan. Dimanakah hendak mencari ketenangan hidup. Dikedai atau digedung tiada dijual. Tiada manusia yang layak menjualnya. Inilah yang dimaksudkan mencari yang tiada tetapi ADA. Oleh itu setiap manusia yang rindukan ketenangan didalam hidupnya sama ada ianya tergolong orang yang berada atau pun tidak berada, mestilah terlebih dahulu mencari guru yang dapat membimbingnya menyucikan hawa nafsu amarah, Al Lawammah dan Sawallah sehingga menemui hawa nafsu Muthmainah (nafsu yang tenang). Kemudian melakukan zikir zuhud yang bertujuan menghampirkan diri kepada Allah swt. Amalan ini memberi kesan nikmat yang tidak terhingga. Hanya yang mengalaminya sahaja dapat membayangkan nikmatnya. Sebab itulah sesetengah ahli zikri mengatakan “nikmat itu datangnya daripada amal untuk menghampiri Allah lalu kamu merasa tenang dan kemelut itu datangnya daripada amal yang menghampiri dunia”.

Firman Allah didalam hadis Qudsi yang bermaksud:

"Tidak ada amalan yang mendekatkan diri seorang hamba yang mukmin kepadaKu seperti zuhud dunia, dan tidak ada satu amalan ibadat pun yang mendekatkan diri kepadaKu, seperti menunaikan semua fardhu keatasnya "

(Hadis Qudsi riwayat Ibnu Abbas)

Pada zaman kemuncak kemajuan Islam, ramai dikalangan manusia yang mempunyai ilmu tidak dapat menikmati kelazatan hidup berdasarkan amal dan ilmunya. Oleh sebab itulah mereka mula mencari suatu kepuasan dunia dengan mencari punca nikmat, akhirnya mereka dapat. Ramai para alim ulama’ yang menceburkan dirinya mengamalkan zuhud pada suatu masa dahulu sehingga mereka tidak dapat dipengaruhi oleh kesenangan dunia. Mereka memandang dunia dan seluruh isinya tersangat kecil dan akan menjadi hancur pada bila-bila masa sahaja. Mereka melihat bagaimana istana yang indah, isteri yang cantik, harta yang bertimbun menjadi musnah oleh keadaan masa dan kehancuran akibat peperangan dan perampasan. Mereka juga sudah melihat bagaimana segala yang indah dan dipuja pada suatu ketika dahulu akhirnya menjadi berubah rupa dan keadaan, dan akhirnya semua itu menjadi lenyap dari sisi mereka. menyedari akan hakikat inilah mereka mencari nikmat yang kekal daripada Allah swt. Sesungguhnya segala ketenangan ada didalam diri manusia, dan kenikmatan juga ada didalam diri manusia. Semuanya itu tidak dapat dirasakan oleh manusia kerana ia terbenam dengan pancaran dunia dan isinya. Oleh itu ia perlu digilap dengan zuhud dan zikirnya supaya nur daripada Allah memancar kembali.

~penulis~ABNnasution~

No comments:

Post a Comment